IKLAN TAJAAN

Mac 05, 2011

Bertunang Seperti Booking Kereta Baru



alt

Agak janggal juga kalau dalam seratus peserta kursus praperkahwinan ada yang datang secara berseorangan. Hal ini kerana biasanya peserta itu datang berpasangan dengan tunang masing-masing. Malah ada sesetengah tempat yang membiarkan pasangan itu duduk berdekatan dalam dewan kursus.

Inilah realiti hari ini yang sukar diubah dalam pemikiran umat Islam, "ini tunang saya". Bayangkan kalau ke tempat kursus praperkahwinan pun mereka boleh datang secara begitu, apalah halangan untuk mereka berbuat begitu untuk shopping, berdating dan menonton wayang. Apakah dengan bertunang membolehkan mereka berbuat begitu?

Jelas di sini, mereka tidak faham kedudukan tunang dalam Islam, bahkan ibu bapa juga tidak faham hukum Islam secara tepat. Oleh sebab itu, sering kita lihat dan dengar ibu bapa yang berasa risau kalau tunang anaknya tidak datang menjengok anaknya pada hujung minggu. Malah ada ibu bapa yang menyuruh anaknya keluar dengan tunang pada hujung minggu.

Hakikat Bertunang

Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimeterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.

Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?

Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan "booking kereta" sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di bilik pameran kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 - RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.

Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam bilik pameran, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan.

Walau bagaimanapun, untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.

Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari bilik pameran? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar enjin sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.

Bayangkan kalau baru booking kereta, begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama.

Dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan. Antaranya ialah:

1. Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.

2. Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.

3. Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.

4. Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.

5. Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.

Syariat Dipertahankan

Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar.

Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.

Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.

Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.

Penguatkuasaan Dari Dalam

Demi maruah diri, keluarga, dan Islam, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak sebelum bertunang tentang hukum ini agar mereka tidak melanggar syariat sesuka hati. Saya percaya, anak-anak akan mudah memahami dan menghormati peraturan ini jika ibu bapa dapat menunjukkan contoh yang terbaik dalam urusan ini.

Selain itu pihak penganjur kursus pra-perkahwinan seharusnya mengenakan syarat kepada peserta agar mematuhi kehendak syariat. Mereka boleh dibenarkan membawa pasangan, tetapi mereka perlu diberi penjelasan tentang hukum ini. Dan dalam dewan pula, kedudukan mereka perlu dipisahkan termasuk dalam dewan makan.

Tidak kurang penting juga, pihak Penolong Pendaftar Nikah (PPN) yang setiap hari dikunjungi pasangan tunang untuk memohon perkahwinan, sebaiknya mereka itu dinasihatkan agar mematuhi hukum di atas. Teguran PPN ini penting sebagai ilmu asas sebelum mereka berkahwin. Malah sebaiknya ajarkan mereka supaya bertaubat sebagai persiapan sebelum diijabkabulkan.

Saya percaya kalau semua ini dapat difahami dan dilaksanakan oleh pihat terbabit, umat Islam akan terbina maruahnya kembali setelah selama ini dicemarkan oleh umat Islam sendiri.

Pemilikan Hakiki



alt

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)

"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)

Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.

Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.

Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.

Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.

"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)

Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.

Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.

Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.

Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.

Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)

Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.

Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.

Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.

Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)

Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.

Wallahua'lam.

Aku Tak Cukup Masa La!



alt

"Alamak tertinggal kunci rumah pulak..."

Mengeluh sendirian. Hmm..aku berfikir masa yang bakal berlalu. Kebetulannya housemates juga tidak ada di rumah. Paling awal pun lagi 1 jam setengah mereka mungkin akan pulang.

Haih...

Aku terus berfikir. Hmm...ada penyesalan di atas kecuaian yang berlaku.

Rancangnya hendak study tadi. Tapi nampaknya sudah tidak dapat diteruskan niat murni ini.

Aku merenung sekeliling rumah, mencari-cari ruang-ruang yang boleh ditembusi. Hampa. Semuanya dikunci.

Rumahku dikunci

Haih...

"Camne la nak buat ni!" keluhku sendirian.

Ting!!

Tiba-tiba aku teringat pesan Mr. X.

"You can't change the past, but you can ruin the present by worrying about the future."

Kenapa perlu untuk aku berkira-kira masa yang akan berlalu. Pastinya tidak dapat aku tebus kembali. Paling bijak untuk aku merancang masa sekarang.

Dari sibuk memikirkan 1 jam yang bakal hilang, elok aku memikirkan 3 jam yang bakal menjelang dan bertindak sekarang!

Peristiwa yang menarik dan cukup bermakna untuk diriku. Menjadi kebiasaan kita terbawa-bawa dengan penyesalan. Bukan salah cuma jangan keterlaluan. Fokus kepada apa yang kita ada sekarang jauh lebih mantap dari membiarkan kerisauan memenuhi kotak pemikiran.

Pastinya setiap kita telah diberikan Allah akan masa kita. Istilah tidak cukup masa perlu direnung kembali sebab Allah itu Maha Mengetahui. Allah tidak akan memberikan sesuatu kepada kita melainkan sesuai dengan kemampuan kita, maka masa yang telah diberikan oleh Allah kepada kita sememangnya cukup untuk kita. Masa itu tidak cukup andai kita sibuk membuangnya.

Fikir-fikirkan.

Histeria : Antara Gangguan Dan Kecelaruan Minda



alt

Ramai anak gadis ataupun sesiapa sahaja akan berasa gerun apabila mendengar perkataan histeria. Terbayang kejadian-kejadian aneh yang boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja yang diserang histeria. Ada beranggapan itu perbuatan ibis, syaitan dan sihir-sihir alam ghaib.

Namun begitu ada juga mengatakan itu semua mainan perasaan dan jiwa yang tidak tenteram. Kedua-duanya ada kebenaran dan hujah tersendiri. Benar, ada yang terjadi disebabkan oleh keadaan jiwa yang tidak tenteram, tetapi ada juga gangguan-gangguan daripada mahkluk halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Kedua-dua perkara ini berkait rapat. Apabila jiwa sering dilanda kemurungan, kosong dan mudah lemah maka ada datang pelbagai perkara membawa kepada kuasa untuk melepaskan tekanan. Keadaan ini juga memberi ruang kepada syaitan dan iblis merasuk jiwa yang dalam keadaan yang tidak stabil. Bermula dari sini akan terjadi histeria dan sebagainya.

Histeria ataupun dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai kerasukan yang disebabkan oleh jin dan syaitan dan juga boleh disebabkan oleh tekanan. Kerasukan ini memang benar-benar wujud dan sebagai contohnya, Allah SWT pernah berfirman berbunyi : "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian disebabkan mereka mengatakan:

"Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama saja seperti riba". Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi (perbuatan mengambil riba), maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." –surah al-Baqarah, ayat 275-.

Menurut alim ulama, kerasukan ini benar-benar wujud, bahkan pada zaman Nabi SAW dahulu, pernah terjadi, dan diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat al-Hakim daripada Kharijah As-Shalt daripada Alaqah Sahar, dia berkata "Pada zaman Nabi SAW dulu, penduduk sebuah kampung pernah datang kepada ku untuk meminta tolong kepada ku mengubtai seorang lelaki yang diserang penyakit gila dan kerasukan. Orang lelaki ini diikat bagi mengelakkan dia menyusahkan orang lain."

Alaqah akhirnya membacakan surah al-Fatihah kepada lelaki itu setiap pagi dan petang sehingga dia sembuh dan dilepaskan daripada gangguan syaitan itu.

Gangguan Makhluk Halus dan Kecelaruan Minda

Histeria atau kerasukan dikatakan sudah berlaku sejak 2000 tahun yang lalu dikatakan ia bersifat misteri tanpa ada satu pun penerangan jitu yang dapat dikaitkan dengan kejadian histeria. Dari sudut perubatan sama ada moden mahupun alternatif sering kali berlaku perdebatan kerana usaha mengenal pasti punca berlakunya kerasukan ini banyak bergantung kepada faktor budaya, nilai dan kepercayaan sesuatu masyarakat.

Ada sesetengah pendapat mengatakan kerasukan ataupun histeria ini berlaku memang ada unsur sihir dan gangguan makhluk halus tetapi ada juga disebabkan oleh kecelaruan minda, tekanan dan unsur-unsur trauma. Unsur-unsur trauma ini dikaitkan dengan pengalaman masa lampau. Selalunya ia berkenaan dengan sesuatu tragedi yang menimpa dan terbawa-bawa sehingga kini. Apabila keadaan diri dan tubuh badan tidak terkawal, ia cepat menyerang dan menyebab senang seseorang itu diserang histeria.

Dari sudut perawatan Islam, penyakit ini mampu diubat dengan baca ayat-ayat suci al-Quran seperti surah al-Fatihah, ayat Kursi dan beberapa doa pilihan. Kebiasaannya diamalkan setiap kali selesai mengerjakan solat dan sentiasa mengamalkan wirid. Cara begini mampu menguatkan hati dan iman.

Dan mengapa kini ramainya pelajar sekolah diserang histeria. Ia boleh dikaitkan dengan tekanan yang tidak mampu dikawal oleh para pelajar. Jika dilihat ia seolah-olah bermusim iaitu apabila tibanya waktu-waktu getir seperti musim peperiksaan. Saat ini pelajar yang agak ketinggalan dalam pelajaran akan mudah mendapat tekanan akibat takut tidak mampu menghadapi peperiksaan ataupun terlalu meletak harapan yang tinggi untuk berjaya. Justeru, keadaan ini membawa kepada kejadian histeria akibat kecelaruan minda.

Kebiasaannya golongan wanita yang sering diserang histeria. Ini mungkin juga mempunyai kaitan dengan perkataan histeria itu sendiri, iaitu perkataan hystron yang bermakna rahim wanita. Mungkin disebabkan ini, kebanyakkan diserang histeria adalah wanita. Selain itu kelemahan diri mengawal emosi dan tingkah laku juga pendorong kepada terjadinya penyakit ini. Untuk itu, pemikiran yang cerdas dan elakkan diri berada dalam tekanan dan kemurungan dilihat mampu megelakkan diri daripada terkena histeria ataupun kerasukan. Sentiasa penuhi hati dan rohani dengan iman pendinding paling mujarab.

diari seorang muslim : Fahaman sekularisme :satu virus atau ideologi?

Assalamualaikum W.B.T dan salam ukhuwah saya ucapkan pada akhwat2 sekelian.Alhamdulillah pada hari ini (3 mac 2011) saya diberi kekuatan untuk menulis lagi tentang isu2 semasa yang sedang melanda dunia Islam sekarang nie...

Saudara-Saudari sekelian,

Mengapa saya memilih tajuk ini sedangkan banyak lagi isu-isu semasa lain yang boleh diketengahkan?Ini kerana saya melihat ideologi ini semakin hari semakin berleluasa sehingga kita tidak sedari bahawa kita sebenarnya telahpun menyokong ideologi yang sesat ini dan telah pun tersesat jauh dari ajaran islam yang sebanarnya.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

''Agama itu adalah nasihat.'' Kami(para sahabat) bertanya : "untuk siapa?" Baginda bersabda lagi: "Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan seluruh kaum muslimin."

Bersdasarkan hadis tersebut,dapatlah kita fahami bahawa islam nie bukanlah satu ajaran semata-mata seperti yang diungkapkan oleh sesetengah pihak tetapi ia adalah satu nasihat yang berguna kepada kita sebagai hamba-Nya.Secara ringkasnya,Islam adalah "way of life''.Sebagai contoh,kita menasihati budak kecil yang tidak tahu apa-apa.Secara tidak langsung,nasihat kita itu menjadi panduan dan pedoman kepada mereka bagi membimbing mereka ke jalan yang lurus.Begitulah sebenarnya agama islam.Namun sayang seribu kali sayang apabila kita meninggalkan 'nasihat' tersebut dan mengambil jalan yang lain untuk hidup yang kononnya lebih bertamadun dan canggih.Ada yang mengatakan mereka yang berpegang kepada Al-quran dan As-Sunnah nie kolot!!!!! Nauzubillah Min Zalik.

Sebelum saya berhujah lebih jauh lagi, apakah sebenarnya sekular@ sukularisme nie? Secara ringkasnya,ianya bermula ketika Eropah dikuasai oleh gereja (dan ketika itu kalau tidak silap saya dikenali sebagai zaman kegelapan eropah.Jika saya tersilap fakta,tolong feedback kepada saya.)Disebabkan tidak mahu rakyat memberontak,pihak gereja telah menyekat perkembangan sains,teknologi dan ilmu pengatahuan.Ini bermaksud,mereka lebih suka rakyat mereka menjadi bodoh!!!!!(mintak maaf terkasar bahasa.hehehehehe).Salah satu jalan keluar bagi mereka ketika itu ialah dengan mereka terpaksa memisahkan perihal agama dengan perihal kehidupan.Maka dari situlah timbulnya sekularisme @ sekular.

Akhwat-Akhwat yang saya cintai sekelian,

Mengapa ya saya katakan sekularisme ni satu virus?Ya...mungkin ada yang beranggapan bahawa ianya adalah satu idealogi atau fahaman atau apa sahaja yang mungkin bisa terlintas di fikiran tuan-puan sekelian.Jika kita kaji balik sejarah peradaban islam,fahaman inilah yang sebenarnya menjatuhkan tamadun yang hebat dan besar yaitu kerajaan Uthmaniyah di Turki.Saper punyer keje ni?Yahudi dan fahaman sesat mereka tuan-puan!!!!!!Kamal At-Tartuk telah pun berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Turki ketika itu (kerajaan Uthmaniyyah) pada tarikh 3 march (betul ker nie?) melalui fahaman ini.Lihatlah betapa bahayanya fahaman ini saudara sarta saudaraku sekelian.Tidak cukup dengan itu, mereka menyebarkan dakyah ini ke tanah melayu sehingga kerajaan Islam yang dikenali serambi mekah,Melaka pun akhirnya jatuh tersimbam ke tangan penjajah.

Jika ditanya kepada diri saya adakah sekularisme ni membawa perkembangan kepada masyarakat,saya berani mengatakan tidak.sebab apa?sebabnya tiada bukti pun yang membuktikan fahaman ni berjaya membawa kemajuan kepada masyarakat.Walaupun pada zahirnya sekular diterjemahkan ke dalam bahasa arab adalah al-ilmaniyyah(ilmu) tetapi pada batinya ia bukanlah seprti yang ditakrifkan.Jika benar,Mengapa masyarakat yang mengamalkan fahaman ini ketandusan ilmu dan runtuh akhlaknya? Tepuk kepala tanya kenapa?Tokoh pemikir Islam, Dr. Yusuf Al-Qardawimenyatakan bahawa makna sekular adalah al-ladinniyah(tanpa agama) dan al-la'aqidah (tanpa akidah). Nauzubillah.

Kawan-kawanku sekelian,

macam seperti saya tuliskan di awal lagi,kita tidak sedari yang sebenarnya kita sudah terjebak kepada fahaman syaitan nie.Buktinya?lihat sahaja Malaysia oh tanah airku.Jika tuan-puan sedar,sebenarnya sistem perundangan kita menggunakan sistem sekular.Buktinya pada undang-undang Malaysia.Mereka tidak mengamalkan hukum hudud malah memisahkan hukum-hukum tersebut sehinggakan hukum Islam diguna pakai untuk skop yang kercil sahaja.Begitu juga dengan Mesir.Apa yang sudah berlaku?Rakyat mereka memberontak lantaran tidak bersetuju dengan Husni Mubarak yang mengamalkan sisitem sekular dalam pemerintahan beliau.Begitu juga dengan sisitem pendidikan.Misalnya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sampaikan melahirkan anak luar nikah.

Sahabat-sahabatku sekelian,

Pemisahan hal keduniaan dengan hal agama sememangnya tidak boleh dipisahkan.Saya ibaratkannya bagai irama dan lagu.Jika dipisahkan,maka sumbanglah lagu tersebut.Ini kerana Alalh Ta'ala telah berfirman yang bermaksud :

"Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-kangkah syaitan.Sesungguhnya ia musuh kamu yang nyata bagimu.

(Surah Al-Baqarah 2: 208)

Jadi,menjawab persoalan tajuk yang diberikan,saya lebih suka menyatakan ia adalah satu virus. Memetik kata-kata Al-marhum Syeikh Mutawali al-Sya'rawi sebagai peringatan kepada diri saya dan anda semua :

"Sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara yang hak dengan yang hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil.

Akhwatku sekelian,

Sebagai kesimpulanya,sekiranya kita melangakah di dunia ini dengan melaungkan Aku redha bahawa tuhanku adalah Allah S.W.T, dan islam itu Agamaku,dan NAbi Muhammad S.A.W itu nabi dan rasulku,maka wajib untuk kita menetang serta memerangi fahaman yang sesat dari Islam.Sekadar di dini sahaja ulasan saya pada kali ini.Mintak ampun sekiranya

penullisan saya ini banyak kelemahan dan ada yang tersentuh dengan penulisan saya.Hantarkan feedback anda kepada saya.Wa'allahu'allam.terima kasih kerana sudi membaca. :-)


Mac 03, 2011

Pandangan Yang Indah

Bismillah Ar Rahman Ar Rahim..

Nafsu manusia diciptakan atas sifat sukakan pujian dan benci kepada celaan manusia. Perkara yang menguji diri adalah apabilah melihat keadaan yang dilihat (zahir) lebih baik dari apa yang di pandang baik di sisi manusia, tertarik terhadap sesuatu yang membuatkannya menerima pujian dari kalangan manusia dan menjauhi sesuatu yang menjerumuskannya kepada celaan di sisi mereka.

Menegur golongan manusia yang di atas, adalah lebih baik kepada hati dan lebih selamat kepada agama, sifat seperti di atas boleh juga melemahkan iman serta keyakinan, kerana ia merupakan punca punca Riyak. Riyak membatalkan amalan, merugikan modal dan menjatuhkan kedudukan pada pandangan Tuhan Empunya Kebesaran dan KeagunganNya.

Indahnya Pandangan Mu
Boleh jadi juga sifat yang tersebut di atas penyebab berlakunya perubahan kepada tabiat dan cita rasa seseorang disebabkan munculnya kemudaratan ke atas jiwanya dan hilang manfaat (Akhlak) dari dirinya, akibat perbuatan memandang elok kepada sikap diri sendiri secara berlebih lebihan itu menjerumuskannya ke lembah syirik , mengeluarkannya dari hakikat tauhid dan seterusnnyamengelencirkan kakinya, setelah sebelum itu kedudukannya begitu mantap, malah ia juga jatuh pandangan Tuhannya. Inilah dia sifat jiwa manusia, ia diuji dengankesukaan, kecantikan, pujian, dan juga kemantapan kedudukan dengan menzahirkan sifat sifat tertentu pada diri yang sememangnya lemah. adakah ia bersyukur dengan apa yang telah diberikan ke atasnya nikmat daripada TuhanNya (ALLAH)

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa apa yang diingini, yaitu: wanita wanita, anak anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (surga)”..(Surah Ali 'Imran 14)

Manusia telah jatuh pada pandangan matanya, dia tidak melihat mereka mampu melakukan sebarangkemudaratan dan juga mendatangkan sebarang kemanfaatan. Dirinya pula jatuh pada pandangan matanya sendiri, dia tidak menyaksikan dirinya telah melakukan sebarang perbuatan dan tidak menerima sebarang habuan.

Kesemua pergerakan yang dilakukannya adalah kerana mengikuti tuntutan syarak tanpa berlebih lebihan dan berkurangan. Inilah dia sifat para sahabat.

“Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang orang kafir, dan mereka memandang hina orang orang yang beriman. Padahal orang orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezki kepada orang orang yang dikehendaki Nya tanpa batas”..(Surah Al Baqarah Ayat 212

____________

Jika ada yg benar semuannya datang daripada ALLAH, kerana ALLAH swt itu Maha bijaksana, dan jika ada salahnya atas kesalahan si penulis, tegurlah jika ada yg salah dan marilah kita memperbaikinya sama sama.. :))

Saya akhiri Risalah ini dengan Assalamualaikum...

Hamba ALLAH (M.M)