IKLAN TAJAAN

Oktober 11, 2011

TUTUPLAH AURAT DENGAN SELOK-ELOKNYA....


Mengapa Harus Menutup Aurat

alt
Tidak berhijab dan mempamerkan perhiasan akan mengundang fitnah bagi lelaki. Seorang wanita apabila mempamerkan bentuk tubuh dan perhiasannya di hadapan lelaki bukan mahram, jelas akan mengundang perhatian kaum lelaki yang berhidung belang dan serigala berbulu domba.
Jika ada kesempatan mereka pasti akan mencari mangsa dengan ganas laksana singa sedang kelaparan.
Seorang penyair berkata:
"Berawal dari pandangan lalu senyuman kemudian salam disusul pembicaraan lalu berakhir dengan janji dan pertemuan."
Sesungguhnya Allah memerintahkan hijab untuk menghilangkan pelbagai macam fitnah (kerosakan). Jika pelbagai macam fitnah redup dan lenyap, maka masyarakat yang dihuni oleh kaum wanita berhijab akan lebih aman dan selamat dari fitnah.
Sebaliknya, masyarakat yang dihuni oleh wanita yang gemar bertabarruj (berdandan secara berlebihan), dedah aurat dan keindahan tubuh, sangatlah mudah terjebak dengan ancaman pelbagai fitnah dan gangguan seksual serta nafsu syahwat yang membawa malapetaka dan kehancuran yang sangat besar.
Jasad yang menampakkan bentuk tubuh badan akan jelas memancing perhatian dan pandangan kaum lelaki. Itulah tahap pertama bagi penghancuran dan kerosakan moral dan peradaban sebuah masyarakat.
"Sungguh akan merasakan manisnya Iman, seseorang yang telah rela Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Rasul utusan Allah."(HR Muslim)
"Setiap umatku (yang bersalah) akan dimaafkan, kecuali orang yang secara terang-terangan (berbuat maksiat)."(Hr.Bukhari)
Sementara wanita yang mendedahkan aurat dan keindahan tubuh sama ertinya dia telah berani menampakkan kemaksiatan secara terang-terangan.
Jangan menelanjangi diri dengan berpakaian ketat atau sempit.
Bagaimana kita menyayangi orang lain sedangkan diri sendiri tidak mampu kita sayangi.
Sudahkah anda berhijab?
Kebenaran hanya milik Allah.
Sumber Grafik: Google Image

Biodata Penulis

Fatin Nabilah Seorang pelajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.

Oktober 08, 2011

BerJUBAH Tetapi Telanjang ?

Berhenti MeLUCAHkan Jubah Muslimah ! Berhenti MeSEKSIkan Jubah Muslimah.
Ini satu teguran penulis kepada pengusaha-pengusaha butik, kakitangan-kakitangan kerajaan, cikgu-cikgu dan wanita-wanita Melayu Islam sekalian.
Mungkin di tanah arab, Jubah adalah satu pakaian budaya tetapi di Malaysia, Jubah adalah simbol pakaian mulia yang mencerminkan personaliti akhlak Islam. Jubah membawa imej Muslimah yang merendah diri, pemalu, sederhana dan mulia. Sudah pastinya, ciri utama Jubah yang dikehendaki Islam adalah menutup-memelihara Aurat dan bukannya membalut-membonjol Aurat seperti yang diamalkan segelintir Muslimah moden zaman kini.
Kemajuan industri fesyen Muslimah tidak boleh dijadikan alasan. Imej kesederhanaan dan kemuliaan Jubah WAJIB dikekalkan dan TIDAK BOLEH dirosakkan dengan sebarang elemen-elemen tabarruj dan berhias untuk menunjuk cantik. Apatah lagi jika Jubah cuba digabung-padankan dengan rekaan yang sendat dan ketat, sudah pasti hukumnya HARAM dan berdosa besar di dalam Islam. Akan terhasillah nanti sepasangJubah yang MAKSIAT.


Telah menjadi trend fesyen sejak kebelakangan ini, ramai wanita Islam di Malaysia gemar mengenakan Jubah untuk ke majlis-majlis dan ke tempat kerja, khususnya pada hari Jumaat.
Malang sekali, Jubah-jubah yang dipakai mereka sudah hilang faedah dan hikmahnya di sisi Islam. Memang Jubah mereka labuh dan tidak menampakkan warna kulit, tetapi rekaaannya sengaja mengikut potongan badan si pemakai khususnya di bahagian dada dan pinggang. Seolah-olah mereka cuba memasukkan unsur ‘ketat’ dari fesyen kebaya ke dalam fesyen Jubah.
Selain daripada itu, Jubah juga tidak sesuai diperbuat daripada fabrik yang terlalu lembut kerana ia akan melekat di badan. Diburukkan lagi dengan rekaan Jubah yang sendat di bahagian dada, maka akan kelihatanlah bentuk buah dada yang ketara dari luar Jubah. Sekiranya rekaan sesebuah Jubah Muslimah itu direka mengikut lenggok bahagian pinggang, maka di bahagian punggung juga turut akan menjadi sendat. Fabrik Jubah yang terlalu lembut berwarna plain akan menyebabkan bentuk seluar dalam kelihatan dari luar Jubah apabila wanita Islam itu duduk, berdiri dan berjalan. Istighfar !
Tujuan asal Jubah adalah untuk meminimum dan menghalang kesan seksual dari Aurat tubuh wanita ke atas pandangan nafsu syahwat kaum lelaki yang melihat. Tetapi, apa gunanya lagi, jika Jubah pun sudah mula disendat dan di-kebaya-kan akan rekaannya. Apa maknanya Jubah Muslimah sekiranya lelaki boleh terangsang nafsu apabila melihatnya.
Ingatlah, Jubah yang direstui dan diberikan pahala di dalam Islam adalah Jubah Muslimah yang dipakai kerana kesungguhan mahu memelihara Aurat bukannya kerana keseronokan mengikut perkembangan fesyen. Jubah Muslimah yang sebenar mestilahlonggar dan lapang. Maka, rekaan Jubah Muslimah tidak boleh ditempah sendat dan mengikut alur bentuk tubuh wanita.

September 22, 2011

Bantuan Allah

Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.


Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.

Dakwah Solat



Tersebutlah kisah di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.


Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita”, kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye”, jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” , sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “Sekadar ingin berkenalan. Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”, jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai. Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

“Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja”, Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“Baik, dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

"Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi, apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira apabila melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya, “Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?” Ahmad menjawab dengan yakin, “Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini.”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engkau benar-benar menunaikan janjimu.”

“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”.

“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan. Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan.”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar.”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan.”

“Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.

“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“Baguslah begitu. Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”.

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh,” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami. Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah. Lari daripada jalan kebenaran.


Ogos 17, 2011

Puasa Itu Revolusi Hati


Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada 'gencatan senjata' ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai 'senjata' tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, 'mentor' nafsu yang utama yakni Syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.
Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik.
Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.
Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini.
Justeru, usaha untuk melahirkan diri, keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia yang lebih baik mestilah dimulakan dengan membersihkan hati manusia dan langkah itu boleh dioptimumkan dalam bulan puasa. Kejayaan Rasulullah s.a.w. mengubah masyarakat jahiliah adalah kerana Baginda berjaya mengubah hati manusia. Inilah yang dikatakan oleh Profesor Dr. Hamka, "Nabi Muhammad berjaya melakukan satu revolusi jiwa yang hebat dalam sejarah manusia."

Informasi iluvislam.com

Jadilah 'blogstarz' dan kunjungi http://web.iluvislam.com untuk meralisasikannya dan dapatkan segera pakej hosting bermula serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY sekarang juga! Gunakan kod kupon MY50MERDEKA.
Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah sikap manusia kerana Baginda berjaya melakukan revolusi hati. Walaupun umat Arab Jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengubat "penyakit-penyakit" itu pada akibat-akibatnya tetapi terus kepada puncanya – yakni hati. Baginda yakin kegawatan-kegawatan yang bersifat lahiriah itu ialah hasil daripada "sakitnya" hati.
Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani persoalan hati manusia dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat al-Quran peringkat itu pendek-pendek dan kebanyakannya sarat dengan persoalan Iman. Semuanya berkisar pada kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib. Ayat-ayat itu menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah juga menggambarkan keadaan dan balasan nikmat di Syurga dan seksa di Neraka.
Iman di hati ialah kunci utama ke arah perubahan sikap. Ia secara automatik akan mengubah manusia secara bertahap-tahap. Transformasi, reformasi, evolusi, revolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan, mesti berlandaskan soal hati. Apabila soal hati ditangani dengan Iman, ia memberi satu kekuatan yang luar biasa dalam diri manusia yang biasa. Tauhid ialah sumber kekuatan untuk melakukan perubahan kerana ia mengungkai semua halangan dan godaan luaran yang mengganggu usaha ke arah perubahan.
Soal hati, bukan hanya penting pada peringkat awal perubahan tetapi ia perlu terus dijaga sepanjang usaha manusia untuk menjadi individu yang baik dan mampu memberi kebaikan.
Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat." (Riwayat Muslim)
Maknanya, jika niat baik, maka amalan pun akan baik. Sebaliknya jika niat jahat, amalan yang baik sekalipun akan bertukar menjadi jahat. Bagaimana natijah atau kesan sesuatu amalan sering bergantung pada mukadimahnya. Jika mukadimah amalan itu ialah niat yang baik, maka amalan itu akan memberi kesan yang baik.
Kualiti amalan bergantung pada kualiti hati pelakunya. Setiap kali kita melakukan satu perbuatan, maka hati akan menentukan itu amalan baik atau sebaliknya. Menderma misalnya, ialah amalan yang baik tetapi sekiranya dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, ia bertukar menjadi riyak dan hukumnya berdosa.
Begitu juga solat. Pada zahirnya ia memang amalan yang mulia. Namun sekiranya hati orang yang melakukan solat kerana ingin "membesarkan" dirinya bukan membesarkan Ilahi, maka solat itu bukan lagi amalan yang mulia.
Maka berhati-hatilah menjaga hati kerana amalan yang sebesar gunung sekalipun tidak akan bernilai walau sedebu pun, sekiranya diamalkan tanpa ikhlas.  Hati bukan sahaja menentukan kualiti amalan seseorang, bahkan nilai orang itu secara keseluruhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu." (Riwayat Muslim)
Pernah diberitakan bagaimana seorang yang rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa sunat pada siang harinya, tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan dia ialah ahli Neraka, kerana lidahnya yang suka mencela jirannya. Mengapakah lidah suka mencela? Jawabnya kerana hatinya masih kotor, walaupun ibadahnya banyak.
Dalam konteks yang sama, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa tidak akan lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus hati seseorang, sehingga lurus lidahnya.
Sebaliknya, pernah Rasulullah s.a.w. memberitakan bagaimana seorang lelaki menjadi ahli Syurga walaupun amalannya hanya "biasa-biasa" sahaja dibandingkan dengan para sahabatnya yang lain. Setelah diselidiki oleh Abdullah bin Umar, beliau dapati kelebihan lelaki ahli Syurga yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah dia tidak pernah menaruh rasa hasad dengki kepada orang lain. Sekali lagi ini membuktikan bahawa kualiti hati menjadi penanda aras kelayakan seseorang manusia untuk memasuki Syurga.
Firman Allah yang bermaksud:
"(Hari kiamat ialah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekalian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera." (Surah al-Syu'ara26: 88-89)
Semua amal ibadah adalah untuk mem­bersihkan hati. Manakala dosa mengotori hati. Hakikatnya, hidup ialah satu perjalanan menuju Allah untuk mempersembahkan hati yang bersih kepada-Nya. Keuntungan atau kerugian hidup manusia ditentukan oleh usaha yang membawa kebersihan hati atau sebaliknya.
Firman Allah:
"Dan beruntunglah orang yang mem­bersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya." (Surah al-Syams91: 9-10)
Hati yang bersih penuh keimanan, ke­takwaan dan sifat-sifat mahmudah. Hati ini mempunyai kuasa yang cukup hebat dan luar biasa. Hati umpama magnet. Ia mempunyai kuasa "menarik" sesuatu yang di luar diri kita. Apa yang bersemi di hati, menentukan apa yang diterima sebagai pantulannya. Hati yang baik di dalam diri menarik kebaikan dari luar diri.
Sebab itu Islam sangat menekankan betapa pentingnya kita bersangka baik kerana sangka baik itu menghasilkan kebaikan. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita agar selalu bersangka baik kepada Allah untuk mendapat kebaikan daripada-Nya. Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku (Allah) mengikut sangka hamba-hamba-Ku." (Riwayat Muslim)
Sekalipun ketika berdosa dan menyesali­nya, namun kita diajar agar tidak bersangka buruk dan putus asa daripada rahmat serta pengampunan-Nya. Kata Syeikh Ibn Ata'illah:"Jangan sampai terasa bagimu kebesaran satu dosa itu, hingga merintangimu daripada bersangka baik kepada Allah Taala, kerana siapa yang benar-benar mengenal Allah akan merasa kecil dosanya apabila dibandingkan dengan keluasan rahmat-Nya."
Jadi, sematkanlah rasa bersangka baik dalam hati kepada Allah, kerana itu akan "menarik" rezeki, rahmat dan pengampunan-Nya kepada kita.
Larangan berprasangka bukan hanya kepada Allah tetapi jua kepada sesama manusia. Jauhi sifat prasangka terhadap orang lain, kerana itu akan menarik "kejahatan" mereka sebagai balasannya.
Firman Allah:
"Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah sebahagian daripada dosa." (Surah al-Hujurat 49: 12)
Untuk mendapat kebaikan, Islam mendidik kita agar memulakan sesuatu interaksi dan komunikasi sesama manusia dengan kebaikan, bermula dengan bersangka baik, memberikan senyuman dan memberi salam.
Hati juga umpama kebun, semaikanlah "benih" rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai "buah" kebaikan. Ramadhan yang semakin tiba ke penghujungnya ini ialah saat yang terbaik untuk membersihkan hati. Bayangkan apabila diri kita mendapat rahmat Allah, kemudian kita berusaha untuk meraih keampunan-Nya dan akhirnya dengan hati yang bersih itulah kita akan bebas daripada seksa api neraka. Insya-Allah.
- Artikel iluvislam.com

Anak-Anak dan Masa Lapangnya

Antara faktor kegagalan dalam pendidikan anak-anak ialah kegagalan ibu bapa menangani soal penggunaan masa lapang anak-anak dengan baik. Kadang-kadang ibu bapa menyangka bahawa anak-anak sibuk seperti mereka. Dari pagi hingga ke petang berkejar ke sana-sini mencari rezeki. Kadang-kadang sibuk pula dengan urusan keluarga dan aktiviti kemasyarakatan. Sedangkan anak terbiar menghabiskan masa dengan sia-sia dan melalaikan.
Ada juga ibu bapa yang cuba menyediakan aktiviti berguna kepada anak-anak, agar mereka manggunakan masa dengan bijak. Namun ramai juga yang lupa bahawa anak-anak ini mempunyai darah muda, kudrat remaja yang sentiasa mahukan aktiviti yang sesuai dengan fitrah mereka.
Anak-anak suka bermain
Waktu anak-anak ini masih kecil, mereka cenderung kepada aktiviti-aktiviti bermain dan berseronok. Ada macam-macam permainan yang mereka suka. Baik permainan dalaman atau in-door, apa lagi yang bersifat luaran out-door.
Bagi ibu bapa yang masa kecilnya tinggal di kampung, perkara ini mungkin dianggap bukan satu masalah. Sewaktu mereka kecil dulu, ibu bapa mereka tidak perlu merancang dan mengatur penggunaan masa lapang.

Informasi iluvislam.com

Jadilah 'blogstarz' dan kunjungi http://web.iluvislam.com untuk meralisasikannya dan dapatkan segera pakej hosting bermula serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY sekarang juga! Gunakan kod kupon MY50MERDEKA.
Di kampung macam-macam permainan boleh dimainkan. Anak-anak akan menggunakan masa lapang dengan berbagai bentuk permainan dengan menggunakan segala sumber yang banyak tersedia dan ruang yang luas.
Namun kini, suasana agak berubah. Anak-anak sukar untuk bergerak bebas bermain di luar. Selain faktor ruang kawasan yang sempit, soal keselamatan juga menjadi hambatan yang kritikal. Anak-anak yang banyak terperap di rumah ini cepat bosan dan memberontak jiwanya. Maka di sini perlunya ibu bapa memikirkan soal perancangan dalam menggunakan masa lapang bagi anak-anak yang masih kecil.
Memahami Remaja
Jiwa remaja juga perlu diselami oleh ibu dan bapa. Secara umumnya remaja tidak suka rasa dikongkong. Nafsu ego yang bersarang dalam jiwa akan membuak-buak menuntut kebebasan dari kawalan orang lain. Namun, ini tidak bermakna remaja tidak boleh didisiplinkan. Jika kena gayanya, mereka boleh menjadi 'tentera-tentera' yang setia menjalankan tanggungjawab dan memenuhi hasrat ibu dan bapa mereka.
Remaja juga mahukan kepuasan fizikal. Zaman remaja adalah zaman cergas. Inilah masa keemasan untuk bersukan, dan berekreasi. Anggota badan dan perasaan remaja akan merasa puas jika digunakan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan keseronokan. Aktiviti fizikal ini bukan sahaja menyihatkan badan dan minda, bahkan juga membangkitkan emosi kegirangan dan mengendurkan rasa memberontak.
Selain suka mencuba, emosi remaja suka diasak dengan cabaran yang getir dan aktiviti yang lasak. Mendepani cabaran yang getir ibarat terbang ke langit tinggi. Melepasi cabaran getir itu bermakna melepasi satu kepuasan tidak terhingga. Jika emosi ini tidak tersalur pada jalan betul, para remaja mungkin akan menjadi mat rempit dan mat gian.
Peluang, Bukannya Ancaman
Realiti psikologi kanak-kanak dan remaja ini bukan satu ancaman atau kelemahan. Ia sebenarnya satu peluang peluang untuk membentuk remaja gemilang. Soalnya bagaimana kita menggunakan masa lapang para anak-anak kecil dan remaja itu. Bagaimana kita menggunakan potensi anak-anak untuk mencapai kehebatan dalam hidup. Masa yang ditempuhi di alam kanak-kanak dan remaja amat berharga. Waktu inilah kepintaran, watak, sikap dan akhlak cepat berkembang. Aktiviti yang dilalui pada tempoh ini akan banyak memberikan kesan jangka panjang kepada hayat mereka seterusnya.
- Artikel iluvislam.com

Ogos 12, 2011

Ini Bukan Selola, Ini Kenyataan Ramadhan Akhir Zaman

Tertipunya manusia-manusia di akhir zaman,
Salah satunya ketika menyambut Bulan Ramadhan,
Waktu berbuka umpama pesta makanan dan minuman,
Perut yang berkeroncong segera didahulukan,
Solat Maghrib tidak pula disegerakan,
Ramai yang melaksanakannya selepas pukul lapan (Malaysia),
Ramai juga yang lupa untuk menunaikan,
Dek kerana asyik melayan lauk pauk dan hidangan..
Sembahyang terawih pula sekadar syarat Ramadhan,
Namun batinnya tidak diselit  rasa kehambaan,
Yang Hafiz bacaannya dikormesilkan,
Yang Imam sibuk mensyaratkan bayaran,
Yang menderma minta dihebah-hebahkan,
Habis terawih, asap rokok berkepul-kepulan,
Yang muda dan yang tua berbual tentang dunia dan hiburan,
Yang wanita berbincang tentang raya dan persiapan,
Kanak-kanak yang memerhati pula menjadikannya teladan..
Katanya bulan ibadah.. Bulan Ramadhan,
Sepatutnya perlu bersifat tawadhuk serta penuh kesedaran,
Bulan yang sepatutnya hilai tawa dikurangkan,
Agar dapat melaksanakan ibadah dan merasai kenikmatan,
Sungguh hiba bila fungsi Ramadhan disalahgunakan,
Dan dikuasai nafsu walaupun tanpa syaitan,
Semua perkara dibuat bukan kerana Tuhan..