IKLAN TAJAAN

Mac 16, 2012

MENGAPA ANAK JADI DERHAKA ?

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah  kita  bertaqwa  kepada  Allah  dengan  sebenar-benar  taqwa.
Iaitu  melakukan  yang  makruf  dan  meninggalkan  yang  mungkar.  Mudah-mudahan  kita  semua  selamat  di  dunia  mahupun  di  akhirat.  Ingatlah
muslimin  sekalian  bahawa  keingkaran  kita  kepada  Allah  hanya  akan
mendatangkan kemurkaan Allah SWT.
 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
  
Anak  ialah  anugerah  Allah  yang  tidak  terhingga  nilainya.
Kehadirannya  adalah  lambang  kebahagiaan  dan  juga  lambang  tanda
kasih  saying  seorang  suami  dan  isterinya.  Sebab  itulah  anak  atau  zuriat
yang  lahir  akan  disebut  sebagai  cahaya  mata.  Ia  cahaya  yang  akan
mewarnai  kehidupan  sesebuah  keluarga  yang  mana  sudah  pasti  cahaya
yang  lahir  darinya  ialah  cahaya  harapan  bagi  kebahagiaan  dan
kegembiraan malah anak juga adalah kebanggaan kepada agama kita. 
 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
 
Antara  faktor  utama  yang  menjadikan  anak-anak  derhaka  ialah
kurangnya  pendidikan  agama  dan  kesedaran  beramal  dengannya.
Amatlah  malang  sekiranya  kita  mempunyai  anak  yang  berjaya  dalam
pelajaran  dan  kerjaya  tetapi  bersikap  buruk  dan  menderhaka  kepada
ibubapanya. 
 
Anak-anak  yang  dididik  dengan  dengan  mementingkan  kebendaan
semata-mata  akan  menilai  kehidupan  ini  dengan  aspek  kebendaan
sahaja,  mengira  untung  rugi  dan  mengejar  kemewahan.  Sebab  itu  nanti
akan  muncul  generasi  yang  beranggapan  bahawa  golongan  orang  tua
 
khususnya  ibubapa  adalah  sebagai  beban  dalam  kehidupan  mereka.
Tiada  kasih  sayang  atau  belas  ehsan  tetapi  yang  difikirkan  ialah
bagaimana  mahu  melepaskan  diri  dari  tangungjawab  dan  bebanan
tersebut. 
 
Maka  tidak  hairanlah  ada  anak-anak  yang  sanggup  menghantar
ibubapa  mereka  ke  rumah-rumah  kebajikan.  Malah  yang  menyedihkan
ada  juga  tergamak  meninggalkan  ibubapa  di  tepi  jalan  kerana  tidak
sanggup menjaga kebajikan dan kehidupan  mereka. 
 
Sesungguhnya  berbuat  baik  kepada  ibubapa  bermakna  bakal
mendapat  layanan  yang  baik  dari  Allah  SWT  dan  begitulah  sebaliknya.
Hakikat ini perlu diterima oleh kita semua kerana tanpa ilmu agama, sudah
tentu  untuk  menangani  gejala  penderhakaan  terhadap  kedua  ibubapa
amatlah  sukar.  Sedarilah  bahawa  pedoman  yang  paling  berkesan  ialah
pedoman  daripada  panduan  yang  digariskankan  oleh  Al-Quran  dan  As-Sunnah. Apa juga usaha jika tidak mengikut ajaran agama maka hasilnya
akan menjadi sia-sia.
 
Pendekatan  agama  amat  penting  kerana  akan  melahirkan  anak-anak  yang  beriman.  Iman  itu  perlu  dijaga  dengan  ibadah  dan  kedua-duanya  akan  melahirkan  manusia  yang  bersifat  Ihsan.  Pernah  berlaku  di
zaman  Saidina  Umar  Al-Khattab  r.a  ,  seorang  bapa  mengadu  tentang
penderhakaan  anaknya.  Saidina  Umar  memanggil  anak  yang
menderhakai  bapanya  dan  bertanya  apakah  benar  perkara  tersebut
berlaku serta mengingatkan budak itu tentang besarnya dosa menderhaka
ibubapa.  Lalu  budak  itu  bertanya  kepada  saidina  Umar  :  “Tidakkah  anak
juga  ada  hak  ke  atas  ibubapanya?”.  Saidina  Umar  menjawab  “Benar”.
Bertanya  anak  tersebut  “Apakah  hak  ibubap  terhadap  anak”.  Saidina
Umar  Menjawab  :  “Hendaklah  bapa  memilih  ibu  yang  solehah,  memberi
 
nama yang baik dan mengajarnya Al-Quran”. Budak tersebut menyatakan
tiada  satu  pun  hak  tersebut  dipenuhi  oleh  bapanya.  Lalu  Saidina  Umar
bertanya  kepada  bapa  anak  yang  mengadu  tadi  dengan  katanya  :
“Adakah  kamu  datang  untuk  mengadukan  kepadaku  kederhakaan
anakmu?  Kamu  telah  menderhakinya  sebelum  dia  menderhaki  kamu”.
Kisah  ini  adalah  sebagai  iktibar  kepada  kita    jika  tidak  mahu  anak-anak
kita menjadi seorang yang derhaka.
 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
 
Sesungguhnya ibubapa adalah contoh tauladan dan guru yang akan
mendidik  dan  turut  mencorak  sikap  dan  akhlak  anak-anak  mereka.
Pendek  kata  apa  saja  yang  dilakukan  oleh  ibubapa  akan  menjadi  contoh
kepada anak-anak. Sebab itulah Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “
Setiap  anak  dilahirkan  dalam  fitrah  (islam).Ibubapanyalah  yang
menjadikannya yahudi,nasrani atau majusi”.  (Riwayat Al-Bukhari)
Dalam  hadis  lain  daripada  Anas  Bin  Malik,  Rasulullah  s.a.w  pernah
juga bersabda:
“Muliakanlah  anak-anak  kamu  dan  tunjukkanlah  pada  mereka  adab  yang baik”.(Riwayat Ibnu Majah)

  Terdapat  juga  dikalangan  ibubapa  yang  terlalu  memanjakan  anak-
anak  sehingga  membiarkan  anak-anak  melakukan  apa  sahaja  tanpa
sekatan dan pemantauan yang selalunya tersasar dengan kehendak yang
telah  ditetapkan  oleh  Islam.  Kemanjaan  seperti  ini  pasti  mengundang
kemusnahan  dan  yang  paling  menyedihkan  adalah  anak  itu  akan
menyalahkan ibubapanya sendiri.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
 
Kejadian  derhaka  kepada  ibubapa  terlalu  banyak  menimbulkan
penyakit  sosial  dalam  masyarakat.  Ianya  bukan  sekadar  melibatkan  kes
seperti  lari  daripada  rumah,  berzina,  penyalahgunaan  dadah,
penyelewengan  akidah  dan  kadangkala  berakhir  dengan  pembunuhan
ibubapa  itu  sendiri.    Kerosakan  seperti  inilah  akan  melemahkan  ummah
dan  saat  dinantikan  oleh  mereka  yang  mengambil  kesempatan.
Kelemahan  inilah  selalunya  diambil  kesempatan  untuk  mereka  menyerap
pelbagai  serangan  khususnya  serangan  pemikiran  kepada  umat  Islam

kerana  sedar  umat  Islam  yang  dihimpit  pelbagai  masalah  kehidupan
memang  mudah  dipengaruhi  dengan  pelbagai  dakyah.  Malah  dengan
mengunakan  pertubuhan-pertubuhan  kebajikan  mereka  bergerak  secara
terancang  dengan  mendekati  golongan  atau  mangsa  anak-anak  derhaka
dengan  memberi  perhatian  dan  layanan  yang  boleh  menggoncangkan
iman.
 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
 
Anak-anak  adalah  pelapis  kepimpinan  akan  datang  dan  peneraju
yang  akan  memastikan  islam  itu  dimartabatkan.  Oleh  yang  demikian
semua  pihak  perlu  bersepadu  menangani  masalah  ini.  Untuk  menangani
masalah  ini  mereka  perlu  diberi  tarbiyah  Islamiyah  dan  bimbingan  untuk

menyelesaikan  masalah  kehidupan  khususnya  dalam  menghadapi  serta
menangani  masalah  mereka.  Sudah  tiba  masanya  kaedah  Islam  diambil
dalam merawat penyakit yang sedang melanda umat manusia pada masa
kini. 

Oleh  itu,  ibubapa  hendaklah  memainkan  peranan  yang  penting
dalam  mendidik  anak-anak  mereka.  Antara  peranan  dan  tanggungjawab
ibubapa ialah;
 
Pertama :  Ibubapa  hendaklah  mengajar  anak-anak  dan  ahli
keluarga dengan pendidikan agama yang sempurna.
 
Kedua :  Ibubapa  hendaklah  menjadi  model  dan  guru  dalam
membimbing keluarga.

Ketiga:  Ibubapa hendaklah bertanggungjawab terhadap keluarga
dalam usaha menjadikan kehidupan yang selesa. 
 
Keempat:  Ibubapa  hendaklah  berusaha  membentuk  akhlak  dan
peribadi anak-anak mengikut cara hidup Islam.
 

Firman Allah s.w.t dalam surah Luqman Ayat 14 yang bermaksud:

“Dan  Kami  wajibkan  manusia  berbuat  baik  kepada  kedua
ibubapanya, ibunya yang telah mengandungkannya dalam keadaan lemah
yang  bertambah-tambah  (dari  awal  mengandung  hingga  akhir
menyususnya)  dan  tempoh  menceraikan  susunya  ialah  dalam  masa  dua
tahun,  (dengan  yang  demikian)  bersyukurlah  kepada-Ku  dan  kepada
kedua ibubapamu serta kepada Aku jua tempat kembali . (Luqman: 14) 
              

Tiada ulasan: