IKLAN TAJAAN

Februari 06, 2011

FACEBOOKMANIA

Facebook suatu fenomena masa kini.Zaman yang penuh kecanggihan dan berteknologi tinggi banyak membantu perkembangan penyebaran laman sosial ini.Pengasasnya Mark Zuckerberg pada 4 Februari 2004 telah berjaya mempopularkan dan menakluki dunia siber di seluruh dunia dan termasuklah di negara Malaysia ini sendiri.Buktinya,menurut Persatuan Digital Malaysia (MDA),Facebook merupakan laman web paling aktif dilayari di Malaysia pada bulan Oktober 2010 yang lalu dengan lebih lapan juta rakyat negara ini menggunakannya.

Tidak kira peringkat umur,Facebook pasti akan menjadi suatu kemestian pada semua.Daripada yang kecil sehinggalah yang dewasa masing-masing mempunyai akaun Facebook sendiri.Trend terhangat yang dicetuskan oleh laman web Facebook memang sudah tidak dapat dibendung.Melalui Facebook kita boleh berhubung dan mencari kenalan yang telah lama terpisah mahupun kenalan baru,berchatting,berkongsi cerita dan bergurau senda melalui gambar yang dimuat naik dan status yang dikemaskini.Tidak kurang juga,ada yang bertemu jodoh melalui Facebook.Menariknya kemudahan yang terdapat pada Facebook adalah percuma.Kita boleh mengaksesnya menggunakan pelbagai cara termasuklah menerusi telefon bimbit.

Demam Facebook yang menyerang ini sebenarnya mempunyai kelebihan dan keburukan bergantung pada individu yang menggunakannya.Matlamat serta objektif pengguna Facebook adalah berbeza-beza.Ada yang bijak menggunakan dan ada juga yang berniat tidak baik dengan menggunakan Facebook.Bagi yang bijak mereka sudah pasti menjadikan Facebook medium menyebarkan pandangan,politik,dakwah,memberi nasihat,teguran serta saling bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan dalam Facebook.Selain itu,mereka turut berkongsi dengan memuat naik video-video berbentuk pengajaran,motivasi,pendidikan dan informasi.Penggunaan Facebook yang mudah ini turut digunakan oleh segelintir pihak yang mempunyai anasir kurang baik.Kebiasaaanya golongan ini menyalahgunakan Facebook dengan menyebarkan fahaman atau propaganda jahat dengan mewujudkan sebuah akaun Facebook khas untuk mengutuk,mengaibkan dan mempertikaikan individu,organisasi dan isu agama turut menjadi bahan gurau senda pihak yang cetek akal ini.Lebih teruk lagi,ada di antara pengguna Facebook ini menggunakan bahasa-bahasa kasar,mencarut serta menjadikan Facebook medan perang meluahkan perasaan seperti marah,benci dan tidak puas hati.Tanpa segan silu ada individu yang turut memasukkan gambar-gambar ghairah dan tidak senonoh mereka.Subhannaulah.Tidak dapat dinafikan juga,pengguna Facebook ini turut menyamar dan menipu dengan memanipulasi status serta jantina masing-masing.Apa-apa pun yang kita lakukan semuanya bergantung pada niat dan perkara ini bertepatan dengan ayat Innama a'malu bil niat.

Kehebatan dan kepesatan teknologi yang sedia kini bukanlah tidak bagus tetapi kita perlulah tahu bagaimana cara untuk memanfaatkannya.Beringatlah jua bahawa apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini akan dipersoalkan kelak di akhirat kerana kitalah yang bertanggungjawab atas perbuatan yang kita perbuat. Janganlah kita menjadi manusia yang rugi dan lalai kerana terlalu khusyuk menghabiskan masa melayari Facebook.

Demi masa! (1)

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2)

Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)

(SurahAl-Asr 103 : 1-3)

WASALAM

Tiada ulasan: