IKLAN TAJAAN

Februari 06, 2011

Indahnya Usrah...

Liqo’, Halaqoh, mahupun Usrah merupakan satu perkara yang membawa maksud yang sama. Ia merupakan salah satu daripada wahana tarbiyah sepertimana yang telah digariskan oleh Mujaddid Islam abad ke-20, Imam Assyahid Hasan Al Banna. Memang jelas, daripada wahana-wahana tersebut, usrah merupakan nadi yang terpenting dalam urusan tarbiyah ini. Namun begitu, wahana yang lain turut diperlukan bagi melincirkan pergerakan tarbiyah seperti mukhayyam, rehlah, daurah dan lain-lain lagi.

Kegiatan tarbiyah yang efektif adalah manhaj yang tidak boleh ditinggalkan. Itulah usrah. Dan ketua bagi usrah digelar murabbi. Murabbi adalah naqib yang berperanan besar dalam menjayakan wadah asuhan ini. Murabbi berperanan dalam mencapai tugas-tugas besar dan tujuan-tujuan yang telah digariskan. Dengan menjadikan kejelasan fikrah, kesatuan persepsi dan perilaku, kesatuan tujuan dan hasil, dan kesatuan target maka kepercayaan serta kejelasan tentang persoalan-persoalan semasa akan menjadi jelas.

Bagi pejuang-pejuang kebenaran, mereka yakin bahawa amal luaran semata-mata tidak cukup kuat untuk bertahan lama. Ternyata mereka memerlukan sentuhan dalaman bagi membasahi hati yang kering, menyubur ukhwah yang melayu, melonjak iman yang kian goyah. Usrah merupakan nutrisi dalaman untuk persiapan bekalan bagi menempuhi mehnah-mehnah dalam kehidupan.

Kala ini, banyak sekolah-sekolah serta institusi pengajian tinggi yang menjalankan aktiviti usrah ini bagi pelajar-pelajarnya. Malah, ia menjadi aktiviti yang wajib dihadiri. Kerana apa? Kerana mereka yakin sedikit sebanyak program usrah ini mampu untuk mengurangkan masalah sahsiah apablia ada naqib yang memantau anak buahnya. Memang benar sebenarnya. Kerana memang begitulah sebenarnya yang akan berlaku.

Memang jelas, usrah merupakan penyelesaian kewajipan individu, sosial, kewangan, ketuhanan dan keluarga. Mari kita lihat implikasi agenda yang dijalankan semasa berlangsungnya usrah.

i. Mengakaji bersama isi buku yang bermanfaat bagi seluruh anggota usrah. Tidak lain dan tidak bukan adalah bagi membangun karakter iman dan akhlak muslim yang ideal dengan ikatan iman dan ukhuwah sehingga menjadi sarana perubahan yang efektif.

ii. Mengkaji bersama keadaan semasa yang dialami umat Islam dan menerima arahan-arahan daripada pimpinan. Dalam usrah tidak diperkenankan perdebatan ataupun tersinggung dan mengangkat suara. Semua itu haram dalam konteks fiqh usrah. Yang ada adalah keterangan dan minta penjelasan yang diutarakan dalam batas-batas etika yang luhur dan saling menghormati.

iii. Semua akh memaparkan persoalan-persoalan dan semua yang hadir berusaha memberi penyelesaian dalam suasana persaudaraan yang tulus dan keikhlasan untuk meraih keredhaan Allah. Cara ini akan memperkuat kepercayaan dan mempererat hubungan. ‘Sesungguhnya orang beriman adalah cermin bagi sesama saudaranya’. Dengan demikian terwujudlah pernyataan Rasulullah S.A.W, ‘Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi adalah seumpama satu tubuh. Jika satu organ tubuh sakit, maka seluruh tubuh akan menderita dengan kesusahan tidur dan demam’.

iv. Membaca Al Quran bagi memulakan usrah. Disamping itu, antara tugasan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang muslim yang bersama dalam usrah seperti mengamalkan wirid khas(almathurat), sentiasa berwudhu’, puasa sunat, istighfar dan lain-lain. Itu semua adalah untuk memenuhi tuntutan ketuhanan yang amat penting bagi menjana ruh bagi setiap amal.

Ikhwah sekalian,

Ternyata sekali usrah ini merupakan satu platform yang unggul bagi membentuk peribadi dan sosok tubuh yang ideal dalam memainkan peranan dalam agenda perubahan yang baik. Oleh itu, sama-sama kita memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap usrah agar tujuan besar yang hendak dicapai dapai dicapai dengan baik. Hanya Allah sahajalah yang akan menentukannya dan kepadaNya kita berharap.

Sekian.

wallahualam...

Tiada ulasan: