IKLAN TAJAAN

Februari 06, 2011

PERSAHABATAN...

Persahabatan,suatu jalinan ukhwah antara manusia yang terbina atas nama silaturrahim.Allah mengaturkan kita untuk bertemu dengan seseorang dan kemudiannya kita berta'aruf(berkenalan) lalu kita bersahabat dengannya.Betapa indah dan cantiknya persahabatan itu andai ianya dibina atas rasa ikhlas,kepercayaan dan penuh kasih sayang. Seperti peribahasa Melayu ‘cubit peha kiri,peha kanan terasa juga’,dengan sahabat ini kita berkongsi pelbagai rasa,bila kita gembira dia juga merasakannya begitu juga apabila kita bersedih dia turut ada di sisi menemani dan menangis bersama.Jatuh bangun,susah senang kita dia tetap akan mendukung kita dan sedaya upaya tidak mengecewakan kita.

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasullulah S.A.W sesungguhnya contoh terbaik dalam setiap perkara.Mengambil iktibar kisah baginda dan sahabat-sahabat beliau ternyata kita akan dapat melihat nilai sahabat sejati .Saidina Abu Bakar As-siddiq,Usman Affan,Ali bin Abi Thalib antara sahabat-sahabat yang setia berada di sisi Rasullulah dalam apa jua keadaan,ketika susah mahupun senang malahan sehinggakan semasa Rasullulah menghembuskan nafas terakhir semua sahabat-sahabatnya tetap setia menemani baginda menghadapi saat-saat sakaratulmaut.Saidina Ali bin Abi Thalib misalnya pernah berkorban menggantikan tempat tidur Rasullulah sewaktu baginda ingin berhijrah ke Madinah dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq pula rela dirinya yang dipatuk oleh ular berbisa bagi melindungi Rasullulah sewaktu mereka di gua Thur.Bukan itu sahaja,ukhwah persahabatan hebat ini dapat jua dibuktikan semasa peristiwa hijrah dan juga ketika Rasullulah menghadapi setiap peperangan.

Persahabatan seperti inilah yang menjadi dambaan sesiapa pun.Ada hikmahnya Allah menjadikan setiap manusia untuk berteman dan umpamakanlah hubungan persahabatan itu seperti bunga dan serangga.Jika serangga yang hinggap pada bunga itu adalah lebah maka ianya akan memberikan manfaat pada bunga untuk mekar berkembang tetapi jika bunga itu dihinggapi oleh serangga perosak maka musnahlah bunga itu.Begitu juga apabila bersahabat jika kita memilih sahabat daripada kalangan orang yang baik nescaya tempias keperibadiannya juga akan terserlah pada kita dan sebaliknya jika kita bersahabat dengan mereka yang berciri-ciri tidak baik akhlak seperti itu sedikit demi sedikit akan turut mempengaruhi kita.Justeru janganlah kita salah memilih atau terlalu memilh dalam bersahabat.

Tahniah sekiranya anda telah bertemu sahabat yang sejati dan hargailah sahabatmu itu.Semoga persahabatan kalian terjalin bukan sahaja ditakdirkan untuk di dunia tetapi biarlah berkekalan hingga ke akhirat dan moga jua Allah S.W.T meredhai dan memberkati persahabatan yang dibina.

WASALAM


Tiada ulasan: