IKLAN TAJAAN

Jun 14, 2011

Masjid tempat ibadah bukan medan niaga


Oleh Mohd Ali Muhamad Don

2011/06/14

SESUAI dengan jolokannya sebagai Rumah Allah, masjid menjadi lambang keutuhan hubungan hamba dengan Penciptanya. Di zaman Nabi Muhammad SAW, fungsi masjid sangat meluas hingga Masjid Nabi di Madinah menjadi pusat pentadbiran negara, pusat taktikal mengatur strategi peperangan dan pusat pendidikan terulung. 

Masjidil Aqsa di Palestin pernah menjadi pusat transit Nabi Muhammad SAW sebelum di bawa dalam pengembaraan agung naik ke langit bertemu Allah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj di bulan Rejab yang mulia.
Disebabkan kedudukan masjid yang begitu tinggi, umat Islam dinasihat tidak mencemari kesuciannya dengan melakukan perkara yang ditegah ketika berada dalam masjid. Kebelakangan ini ada pihak menjadikan masjid pusat mempromosi barangan jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Daripada promosi pakej haji dan umrah, ibadah korban sehinggalah kepada penjualan kitab agama. Tembok dan kawasan masjid juga mula dipenuhi kain rentang mempromosikan perniagaan. Mereka yang terbabit terdiri daripada kalangan pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid, ustaz dan ustazah juga daripada kalangan peniaga sendiri. 

Perlu diketahui perbuatan ini sebenarnya ditegah dilakukan dalam masjid mahupun di kawasan persekitarannya. Perkara ini dapat diperhatikan daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Jika kamu melihat orang berjual beli dalam masjid, maka katakanlah kepadanya, moga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu. Dan jika kamu melihat orang mencari barangan yang hilang dalam masjid maka katakanlah padanya, moga Allah tidak menemukan barangan kamu yang hilang itu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi). 

Walaupun ada sebilangan ulama mengharuskan jual beli dalam masjid namun al-Syeikh al-Mubarkapuri menegaskan, beliau belum pernah menemui sebarang dalil mengharuskan perbuatan itu. Justeru, larangan tetap berlaku sehingga ada dalil lain menunjukkan sebaliknya. 

Selain itu, perbuatan merokok dalam masjid dan persekitarannya juga tidak mencerminkan nilai keagungan masjid kerana masjid termasuk syiar agama yang perlu diagungkan. Jika kawasan pelancongan dan tumpuan ramai boleh diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dan dikenakan kompaun mengapa masjid yang mulia dan kawasan persekitaran tidak diisytihar sebagai kawasan larangan merokok. 
Mentaliti segelintir umat Islam yang sering menjadikan masjid dan surau sebagai tandas awam percuma juga hendaklah dibuang jauh-jauh. Walaupun tidak dilarang untuk menggunakan segala kemudahan yang ada apalah salahnya jika selesai qada’ hajat, sumbangkan sedikit wang ringgit untuk membiayai kos penggunaan air dan elektrik masjid yang diamanahkan kepada semua umat Islam. Apatah lagi jika masjid dan surau itu hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai. 

Ada adab lain yang perlu diperhatikan contohnya sebelum masuk masjid hendaklah terlebih dahulu berwuduk, kemudian melangkah masuk dengan kaki kanan dan membaca doa masuk masjid sambil berniat iktikaf. 

Setelah itu disunatkan sembahyang sunat wuduk ataupun tahiyatulmasjid. Ketika berada dalam masjid, jemaah dilarang daripada berkata-kata mengenai hal duniawi, duduk dengan sopan, tawaduk dan khusyuk. 

Apabila berzikir atau mengaji, elakkan daripada membaca terlalu kuat sehingga mengganggu jemaah lain. Apabila ingin keluar pastikan semua lampu dan kipas dimatikan terutama jika tiada jemaah lain yang tinggal, melangkah keluar dengan kaki kiri sambil berdoa memohon limpah kurnia Ilahi. 

Semua perkara ini tampak remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Namun, masih ada segelintir masyarakat Islam yang kurang memahami fungsi dan peranan sebenar masjid, perkara ini perlu sentiasa diingatkan. 

Apatah lagi sejak akhir-akhir ini institusi masjid sering dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk tujuan yang pelbagai. 

Justeru menjadi tanggungjawab semua masyarakat Islam mempertahankan kesucian masjid daripada anasir tidak sepatutnya. 

Umat Islam juga diseru mengimarahkah masjid dengan aktiviti keagamaan. 

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Johor Bahru 

Tiada ulasan: